Wednesday, July 28, 2010

INI BUKAN PUISI

Agak-agak lepas ini apa kerja
Mahfuz Umar dan Mat Sabu
Nik Aziz dan Husam Musa
apabila PAS dan Umno
mengadakan kerjasama.

Tentulah tidak ada modal lagi
untuk menghentam pemimpin Umno
dan kerajaan
kerana sudah sama-sama
duduk dalam kerajaan.

Apakah mereka dan yang lain-lainnya
beralih menyerang Anwar?
berubah hala menyerang Lim Kii Siang?
Atau menghentam pula
Lim Guan Eng dan Khalid Ibrahim?

Tak mungkin!
Jadi apa kerja mereka
selepas ini?
Sebab itu mereka menentang
semua bentuk kerjasama.

Sunday, July 18, 2010

PESANAN TERAKHIR


Lurus jalan ini
menuju ke makam abadi
nanti kita terbias dari sini
dan aku berlari sendirian
tanpa sesiapa lagi.

Yang pasti
belajarlah berdiri tanpa aku.

Belajarlah berlari tanpa aku.

- 18 Julai 2010

Thursday, July 15, 2010

PERASAAN DAN IMPIAN



Semasa ada di sisi sengaja buat tidak tahu,
bila tiada di sini terasa pula rindu.

Ketika duduk bersama sikit tidak dipandang,
bila tiada hati pula terkenang-kenang.

Hargailah semasa ia ada di sisi
jangan kerinduan di kemudian hari
jangan terkenang kemudian hari
jangan dibiar diri di dalam sepi.

Ingat kembali saat berkasih
kenang semula ketika bahagia
usah difikir tentang diri tersisih
kenang semula pada waktu-waktu ceria.

Waktuku tidak panjang
masaku telah tiba di ambang
dan aku sudah pasti tidak pulang
seperti permintaan semua orang.

Dalam waktu yang sedikit ini
beri ruang aku tunjukkan hatiku
yang tidak pernah siapa tahu
yang tidak pernah diambil tahu!

Tuesday, July 13, 2010

AKU TIDAK DIPERLUKAN LAGI

Akan tiba waktunya kita harus mengakui bahawa kita sudah tidak diperlukan lagi. Dala apa keadaan dan situasi sekalipun, apabila sampai ketikanya, kita harus sedar bahawa diri kita sudah tidak berguna lagi, lebih-lebih lagi apabila sejarah hidup kita menjadi tercalar dan mendatangkan aib kepada orang lain.

Itulah yang aku rasakan apabila melihat aku tidak lagi dipedulikan. Makan dan pakai aku sendiri uruskan. Tidur dan baring tidak pernah siapa bertanya. Sakit dan demam tak siapa pernah ambil tahu. Dan jauh di sudut hatiku, aku berkata, aku harus pergi meniggalkan semua ini supaya mereka dapat hidup tenang tanpa gangguan aku.

Di dalam perbualan-perbualan mereka dengan orang lain langsung tidak menyentuh aku. Di dalam tulisan-tulisan dan hubungan mereka dengan orang lain, aku persis tidak wujud langsung. Dan aku tepinga-pinga apabila setiap hari dilupakan begini.

Aku telah sedar tentang hal ini sejak lama dulu. Dan aku kena berfikir untuk berundur perlahan-lahan dari hidup mereka.

Tapi mereka adalah keluargaku sendiri!

Thursday, July 1, 2010

SEPI SEORANG LELAKI

Seorang lelaki terasa sepi
bukan kerana ia bersendiri
juga bukan tidak punya kawan
seorang lelaki itu
perlukan sesuatu yang lebih dari seorang teman
perlukan sesuatu untuk meluahkan perasaan
seorang yangbernama lelaki
sudah biasa sendirian
sudah lali tidak berteman.

Seorang lelaki terasa sepi
kerana ia adalah lelaki
memerlukan seorang perempuan
bernama isteri
tempat mencurah rasa hati.
teman bicara setiap hari.

- Julai 2010

Sunday, June 20, 2010

HARI BAPA



AKU UCAPKAN SELAMAT HARI BAPA KEPADA DIRIKU SENDIRI

Hari ini, 20 Jun 2010 berlalu begitu sahaja tanpa siapapun mengucapkan Selamat Hari Bapa kepadaku. Aku, seorang bapa yang awal-awal lagi telah kecundang dan berubah menjadi ‘bekas orang baik’. Tidak seperti yang diharapkan kebanyakan orang untuk berhijrah menjadi ‘bekas orang jahat’ di penghujung usia begini.

Sepatutnyalah tiada siapa yang peduli padaku. Sepatutnyalah tiada siapa yang melihat aku persis seorang bapa yang patut diberi kalungan hormat pada hari yang memartabatkan sumbangan seorang bapa dalam kehidupan makhluk bergelar insan. Malah aku bukan lagi dianggap sebagai insan, sementelah sebagai insan yang mulia dan dihormati.

Apa yang telah aku lakukan tidak bercirikan insan yang baik, tidak berlandaskan kepada sifat seorang bapa yang perlu dihormati. Namun jauh di sudut hati, aku tetap juga menjadi bapa kepada anak-anakku yang berlima dan masih juga seorang suami kepada seorang perempuan yang aku kasihi yang digelar isteri walaupun orang lain tidak bersetuju.
(Entri ini panjang amat. Cukuplah setakat ini).

Sunday, June 13, 2010

LESEN JUDI: SUDAH JADI APA?

1. Apa sudah jadi dengan Lesen Judi Bolasepak Piala Dunia?

2. Akhirnya isu menjadi bisu dan diam terus, tidak gegak gempita seperti gegak gempitanya piala dunia. Tidak senyaring teriakan dan jeritan meraikan gol. Ke mana menghilang para aktivis yang bersuara lantang sebelum ini? Di mana PM yang berjanji akan berbuat sesuatu untuk keselesaan rakyat?

3. Semua hangat-hangat tahi ayam!

4. Serangan Israel dan kekejaman mereka membayangi isu juid sehingga para aktivis tidak bertaring lagi. Teriakan dan jeritan beralih kepada kekejaman Israel. Dan Pesta Bolasaepak Piala Dunia itu sendiri menenggelamkan sorakan lantang pengharaman lesen judi. Pesta terus berjalan, judi terus berjalan.

5. PM kata belum muktamad kelulusannya, kata Vincent Tan Sudah dapat, kata Hishamuddin sudah lulus, kata Chor Chee Heung sudah beri lesen dan Awang Adek yang mula-mula sekali bersuara sudah diam membisu.

6. Tidak ada siapa lagi bercakap tentang lesen judi. Najib boleh duduk diam sebab tiada protes lagi. Orang semua diam asyik tonton bola di TV. Orang semua sibuk lihat Israel tambah kejam lagi. Dan judi berjalan juga dalam diam dengan lesen yang dikatakan belum diluluskan. Hishamuddin meminta orang ramai memberi cadangan bagaimana hendak membendung judi. .

7. Buat apa jadi Menteri Dalam Negeri kalau tidak tahumengatasi masalah begini? Apa susahnya? Polis ada, kakitangan Kementerian Dalam Negeri ada. Kalau tidak mencukupi, orang menganggur ramai. Tambah sahaja penguatkuasa, tambah saja kaki-tangan. Ramai-ramai gempur premis judi.

8. Susah sangatkah jadi menteri?

Sunday, June 6, 2010

BUKAN 525 JUTA ITU YANG PENTING

1. Hari ini Vincent Tan sudah umumkan semua RM252 juta didermakan kepada badan kebajikan. Kalau dilihat dari jumlah wang tersebut teruja jugalah sebab dinyatakan untuk kebajikan. dengar nama kebajikan pun sudah cukup melegakan. Bukan senang untuk mendapatkan jumlah sebanyak itu untuk berbuat amal. Kalau Vincent Tan seorang muslim, sudah pasti Nik Aziz meletakkan nama Vincent dalam senarai penghuni syurga.
2. Malangnya Vincent Tan bukan Islam dan wang itu pula wang dari hasil judi. Pastilah orang Islam tidak 'sudi' menerima bantuan dari hasil judi. Dan nama untuk kesyurga tajaan Nik Aziz sudah tentu tidak 'valid' lagi.
3. Bagi kita, yang penting bukan wang. Yang penting bukan sejumlah mana yang didermakan. Tapi yang penting, orang Islam di Malaysia tidak mahu judi itu dihalalkan. Yang dipertikaikan bukan banyak mana keuntungan diperolehi tapi kenapa lesen itu diluluskan. Dalam kita berusaha mencegah kemungkaran, lesen menghalalkan judi pertaruhan bolasepak pula diluluskan.
4. Demonstrasi dan perhimpunan yang diadakan rakyat selama ini bukan kerana mahukan wang hasil keuntungan judi itu tapi yang dituntut adalah penarikan balik lesen judi tersebut. jadi batalkan sahaja lesen itu, jangan hendak 'dikujam' dengan wang yang banyak jumlaahnya.
5. Harap-harap DS Najib faham. Harap-harap Datuk jamil Khir faham.

Thursday, June 3, 2010

KE LUAR NEGARA LAGI.

DS Najib ke luar negara lagi. Bulan lepas sahaja sudah tiga negara dilawati. Baru sahaja bulan Jun membuka tirai, dah pergi pula. Laos pula kali ini. Demi mengukuhkan hubungan dua hala kononnya. Bawa segala menteri dan isteri berduyun.

Hal dalam negara banyak lagi tertangguh. Pandangan rakyat tidak dikisahkan. Lesen judi bolasepak bila hendak ditarik balik? Nampaknya kedai-kedai pertaruhan piala dunia nanti akan dikunjungi ramai. Yang tak ada lesen pun bukan main ramai orang, tambah pula kali ini ada lesen.

Bangsa mana yang suka judi? Agama mana yang suka judi? Hanya Jamil Khir Baharum yang boleh jawab. Hanya Awang Adek Husain yang layak menjawab. Hanya DS Najib yang tahu jawapannya.

Teringat lagu M. Daud Kilau, lagu 'Gila Judi'.

Tuesday, May 25, 2010

MENTERIKAH YANG BODOH ATAU KITA YANG BODOH?

1. Kadang-kadang aku terfikir, adakah negara ini diurus dan di tadbir oleh manusia-manusia bodoh? Mungkinkah kebodohan manusia-manusia yang diipilih menjadi pemimpin itu bakal membawa negara ke arah kehancuran? Kalau betul, kitalah yang lebih bodoh kerana memilih orang-orang bodoh memimpin kita.

2. Jika dilihat apa yang berlaku seminggu dua ini, risau juga kalau-kalau sangkaan buruk tentang kebodohan mereka itu berbetulan. Alangkah ruginya bangsa dan negara. Alangkah bodohnya aku memilih pemimpin yang bodoh dan tidak dapat berfikir dengan baik.

3. Sedang bangsa Melayu beragama Islam berusaha membendung segala bentuk maksiat dan kemungkaran, para pemimpin meluluskan pula satu lesen perjudian, padahal semua orang tahu bahawa judi itu haram. Apa agama pun tidak suka judi sebab tiada satu pun kebaikan yang didapati dari judi. Yang suka judi hanyalah golongan mungkar.

4. Walau apapun alasan yang diberikan dan akan diberikan, langkah meluluskannya adalah satu langkah bodoh dan mengundur ke belakang. Tambahan pula menurut seorang menteri langkah itu dibuat untuk membendung pertaruhan haram yang menurutnya pasti akan timbul. Meluluskannya dilihat sebagai langkah terbaik untuk tujuan tersebut?

5. Kalau para pemimpin ini bijak dan cerdik, malah kalau sudah tahu akan wujud pertaruhan haram sepanjang Pesta Bolasepak Piala Dunia itu nanti, apa tunggu lagi? Pertingkatkan usaha dan tambah kakitangan dan penguatkuasa bagi membanteras sindiket tersebut, bukan ‘menghalalkan’ benda yang haram itu.

6. Masalah pekerja asing khasnya pembantu rumah memperlihatkan satu lagi kebodohan para pemimpin negara. Bermula dari menteri hinggalah kepada Perdana Menteri sendiri terbawa-bawa dengan karenah pembantu rumah dari Indonesia ini. Nampak sangat betapa deperadonya kita sehingga menurut saja apa syarat yang ditetapkan oleh Indonesia.

7. Masalah pembantu rumah pun boleh menjadi topik perbincangan Perdana Menteri dengan Presiden Bambang Susilo. Macam tak ada perkara lain yang lebih besar hendak dibincangkan. Pemimpin bodoh kita menurut saja apa yang diminta oleh Indonesia tanpa memikirkan implikasinya kepada majikan di Malaysia. Padahal kedua-dua ketua negara itu boleh berbincang tentang hal-hal lain yanglebih besar dan berfaedah. Hal-hal begini memadai pegawai-pegawai kementerian sahaja yang berbincang.

8. Lagipun, jika mereka pemimpin yang bijak, cari dan fikirkan satu mekanisma agar para pembantu rumah dari luar ini dapat diganti dengan rakyat tempatan. Cari punca kenapa rakyat tempatan tidak berminat dengan kerja tersebut. Rasanya itu adalah jalan yang terlebih baik daripada terus bergantung kepada rakyat Indonesia yang menekan kita dengan berbagai-bagai syarat yang ternyata menguntungkan mereka baik dari segi bidang kerja dan juga pendapatan.

Thursday, May 20, 2010

MACAM MANA PULA LESEN NI BOLEH LULUS?

1. Langkah kerajaan khasnya Kementerian Kewangan meluluskan lesen untuk aktiviti pertaruhan Pesta Bolasepak Piala Dunia 2010 amat mengjutkan dan dilihat sebagai langkah kurang bijak dan berundur ke belakang dari usaha penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara. Macam mana boleh terjadi begini?

2. Dalam keghairahan menjadi sebuah kerajaan yang bersifat terbuka, kementerian yang diterajui Perdana Menteri sendiri terlupa bahawa langkah itu meletakkan kerajaan dalam zon bahaya seterusnya mencalarkan kerancakan transfomasi yang diperkenalkan.

3. Jika alasan yang diberikan timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin bahawa pemberian lesen itu adalah untuk mengawal dan membanteras pertaruhan haram yang dijangka akan beroperasi, ia adalah alasan yang tidak matang dan tidak berwibawa kerana pertaruhan haram tetap akan wujud biar seberapa banyak lesen dikeluarkan malah ia akan lebih berleluasa kerana ada pertaruhan ‘halal’.

4. Judi Empat Nombor dan Sports Toto boleh dijadikan contoh. Sesudah berapa banyak lesen Empat Nombor dan toto dikeluarkan, kedai yang menjual nombor ekor haram tetap juga beroperasi dan mendapat langganan. Nampak sangatlah kerajaan berputus asa dalam membendung aktiviti pertaruhan lalu mengambil langkah mudah dengan pemberian lesen atau ‘menghalalkan’ judi ini.

5. Daripada mengeluarkan lesen yang menimbulkan keresahan rakyat beragama Islam dan sesuai dengan usaha penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara, adalah lebih baik jika kerajaan berusaha menambah kaki-tangan dan penguatkuasa bagi menangani pertaruhan haram yang telah dijangkakan. Malah kerajaan akan dihamburkan dengan pujian demi pujian jika penguatkuasaan dipertingkatkan, lagipun akan menyedari kerajaan sedar kewujudan judi ini nanti.
6. Agaknya sudah kering otak untuk berfikir cara lain, halalkan saja judi ini. Bijaknya orang politik bermain politik. Cerdiknya orang politik berpolitik. Seolah-olah menggali kubur sendiri sahaja.
7. Nanti PRU13 jangan pula menyesal.

Tuesday, May 18, 2010

BULAN MEI, BULAN KERAJAAN BERBELANJA


Bulan Mei adalah bulan ke 5 dalam kalender. barangkali kerana itulah, kerana angka 5 itu, Mei menjadi terlalu istimewa. Mei menjadi bulan utama sehingga bermaca-macam sambutan ditetapkan dalam bulan Mei.

Dalam bulan 5 diadakan sambutan Hari Jururawat.
Dalam bulan 5 diadakan sambutan Hari Belia.
Dalam bulan 5 diadakan sambutan Hari Guru.
Dalam bulan 5 diadakan sambutan Hari Keamatan.

Kerajaan berbelanja besar dalam bulan Mei. Kebetulan pula berlangsung Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu, kempen besar-besaran berlangsung dalam bulan Mei juga. Tarikh PRK sendiri jatuh ada 16 Mei, sama harinya dengan perayaan Hari Guru. Dan yang bertugas sebagai pegawai SPR itu juga kebanyakannya adalah guru.

Pada Sambutan Hari Belia, Perdana Menteri sendiri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta. Itu berlaku pada tanggal 15 Mei. Esoknya pada 16 Mei, dalam perasmian sambutan Hari Guru, timbalannya pula mengumumkan peruntukan yang cukup besar untuk pada pegawai pendidikan. Bermula dengan kenaikan pangkat, hinggalah kepada hadiah wang atas prestasi sekolah yang dibanggakan. Banyak juga belanjanya jika dihitung. Mencecah jutaan ringgit juga.

PRK Parlimen Sibu usah ceritalah. Banyak sungguh peruntukan yang diluluskan kepada pengundi Sibu termasuk pembangunan sekolah-sekolah Cina serta prasarana yang berbagai-bagai. Inipun mencecah puluhan juta ringgit juga.

Itulah bulan Mei yang sangat istimewa. Nasib baiklah Piala Thomas terlepas ke China. Kalaulah ia kekal di Malaysia, entah berapa banyak pula wang akan dicurahkan kepada para pemain dan pegawai badminton. Itu Rosmah dah berjanji. Rosmah cakap, samalah juga dengan Najib cakap. Mereka tidur sebantal.

Diharap guru menjadi lebih berinovasi setelah mendapat kabar gembira itu. Para belia juga hendakalah beranjak dari keadaan sekarang. Ubahlah sikap dan gunakanlah minda dengan sebaik-baiknya sesudah menerima suntikan dari kerajaan.

PRK Parlimen Sibu telah menampakkan hasilnya. Biar sebanyak mana kerajaan taburkan ang ringgit, partyi kerajaan tetap ditolak juga. BN tetap tidak diterima hanya dengan majoriti 398. Kalaupun calon bebas tidak bertanding dan semua penyokongnya serama 232 orang beralih kepada BN, tetap juga tidak menang.

Jadi wang ringgit bukanlah segala-galanya. Wang belum tentu boleh mengubah prinsip dan mempengaruhi pilihan. Wang memang mempunyai kuasa beli tetapi belum tnetu boleh 'membeli' segala-galanya.

Fikir-fikirkanlah!

Saturday, May 15, 2010

KEKALAHAN YANG PATUT DISYUKURI

1. Alhamdulillah, Malaysia tewas! Malaysia tak menang dan Piala Thomas yang berprestij itu tidak dapat tinggal di Malaysia. Kekalahan di tangan China malam tadi patut diterima dan disyukuri seluruh rakyat Malaysia. bukan tidak suka Malaysia menang tetapi melihat apa yang bakal berlaku jika pasukan negara mngalahkan China dan seterusnya memenangi perlawan akhir nanti, adalah lebih baik kita tewas awal-awal lagi.
2. Kita tak mau nanti PM dikatakan dengar cakap bini. Malu. Perdana Menteri yang berkarisma tiba-tiba dilunturkan dengan tuduhan demikian rupa. Datuk seri Najib yang lantang berbicara tentang transfomasi, tiba-tiba terpaksa tunduk kepada isterinya sendiri, Datin Seri Rosmah Mansor.
3. Baru-baru ini dalam pertemuan Rosmah dengan para pemain badminton negara, beliau berjanji akan memberi hadiah insentif jika berjaya merangkul piala berprestij itu. Malah beliau dengan penuh yakin menyatakan akan berbincang dengan PM (siapa lagi kalau bukan Najib). Dan maksud tersirat tentulah kita faham, Rosmah akan meminta Najib mempertimbangkan sedikit peruntukan untuk skuad Piala Thomas.
4. Dan Najib tentu akan berada dalam keadaan serba salah. Tak diberikan, isteri yang minta. Kalau diberikan seperti yang diminta, apa pula kata orang: Najib dengar kata bini!
5. Jadi lebih baiklah Malaysia kalah.

Wednesday, April 21, 2010

PERIHAL SAMPAH



Apabila berbicara tentang sampah, sudah pasti gambaran tentang suatu tempat yang kotor dan tidak terurus datang ke dalam minda setiap orang. Tentulah terbayang barang-barang tidak berguna dan bertaburan dan berselerak. Biasanya sampah tidak dipedulikan dan dibuang sesuka hati. Ada juga yang dikumpulkan dan dibawa ke tempat tertentu untuk dibuang. Tegasnya, sampah adalah barang yang tidak berguna lagi.

Kadang-kadang sesuatu barang yang kita anggap sebagai sampah, sebenarnya tidak menjadi sampah kepada orang lain. Ada orang membuang satu barang yang dkira sampah tetapi dipungut orang lain sebagai satu benda berharga. Maknanya tidak semua sampah tidak berguna. Ia tidak berguna kepada kita tetapi berguna kepada orang lain. Lihat saja pada pakaian-pakaian kita yang telah lama. Kita fakir ia tidak berguna dan membuangnya ke tempat sampah tetapi ia diambil orang lain yang masih boleh memakainya.

Jadi, ada ketikanya tempat longgokan sampah menjadi tempat tumpuan segolongan orang yang gemar mencari dan mengumpul barang-barang berharga dari timbunan sampah-sampah itu. Kemungkinan terjumpa sesuatu yang bernilai memang tidak dapat dinafikan. Ada orang pernah menjumpai wang, barang kemas dan tidak ketinggalan beberapa barang yang masih boleh digunakan dan boleh dijual untuk mendapatkan sedikit wang..


Walau apapun anggapan kita mengenai sampah, ia hendaklah diurus dengan betul dan sempurna. Pembuangannya mestilah sistematik dan mengikut peraturan. Sikap membuang sampah mewrata-rata dijalan dan di lorong-lorong amat tidak digalakkan. Malah membuang sampah melalui tingkap kenderaan yang bergerak di jalanraya merupakan amalan yang tidak baik.

Di negara kita, sikap suka membuang sampah di merata tempat menjadi seperti amalan biasa. Sungai sering menjadi sasaran sehnga ia tercemar begitu teruk sekali. Di Malaysia, sungai bukan menjadi tempat yang menarik padahal di mota Bangkok, sungai menjadi jalan pengangkutan yang utama selain boleh menikmati hidupan di dalamnya seperti ikan yang menjadi tarikan pelancong. Sungai-sungai di Malaysia menjadi lubuk sampah.

Buatlah sesuatu dengan ‘sampah’ anda. Buanglah sampah secara berhemah kerana ada benda yang menjadi sampah kepada kita, menjadi barang berharga kepada orang lain. Dan kita sendiri pula jangan menjadi ‘sampah masyarakat’.

Tuesday, April 13, 2010

MENGENAI 'BERFIKIR'

Perbuatan orang berfikir membawa tuah
Perkataan orang berfikir peribadi bermaruah
Rancangan orang berfikir hidupnya mewah
Bijaksana orang berfikir martabatnya bertambah.

Tanpa Berfikir Menyesal Tak Sudah!

Friday, March 12, 2010

KELIRU

Beberapa tahun yang lalu kami mengatakan mereka menjadi kafir sebab berbaik-baik dan berkerjasama dengan orang-orang Cina dan India yang memang kafir. Habis ke segenap ceruk rantau dan kesegenap pelosok kampung kami mencanangkan demikian. Kami penuh percaya bahawa mereka menjadi kafir kerana bersahabat dengan puak-puak kafir itu.

Dan sekarang kami sendiri pula bersahabat dengan golongan yang serupa dari kaum Cina dan India yang serupa macam mereka yang kami katakan kafir dahulu. Malah golongan yang kami berbaik-baik ini lebih teruk lagi menghina Islam dan bangsa Melayu. Adakah kami juga kafir macam yang kami pernah katakan dulu?

Anak cucu kami akan jadi keliru.

Saturday, February 20, 2010

AKU MASIH DI SINI


Aku tidak ke mana-mana
walaupun sudah lama tidak menulis
laman ini menjadi kosong sahaja
begitu lama menyepi dan tiada cerita
walau sedikitpun sejak beberapa hari.

Banyak peristiwa kebelakangan ini
rusuh hati dan kesepian
menengggelamkan semua fikiran
jadi buntu tanpa satu apa pun
jiwa jadi kosong dan tidak berfungsi.

Banyak duka dari ceria
banyak lara dari ria
banyak luka dari gembira.

Monday, January 11, 2010

DOA DAN HARAPAN



Hati gersang dan bimbang
sesudah aku pulang
dari dosa yang tidak terampun
dengan dosa-dosa yang terhimpun
moga masih ada
lorong suci untuk aku lalui
menjalani hidupku yang telah hilang
ketika jalan ini sudah hampir ke penghujung
kepadamu aku serahkan
segala permohonan dan kemahuan.


- Januari 2010