Wednesday, March 25, 2009

BILA HATI SUDAH SUKA

Terdapat sebuah lagu yang antara liriknya berbunyi lebih kurang begini:

“Bila hati sudah suka,
Semua indah saja”.

Sedap bukan bunyinya? Ya. Bila hati kita sudah menyukai sesuatu, semua perkara tentangnya nampak indah dan cantik. Tidak kelihatan cacat celanya. Kata orang bila sudah suka, kentut pun berbau wangi, tidak busuk seperti selalu.

Tetapi jika hati sudah tidak suka, tentulah terjadi sebaliknya. Akan timbul rasa benci yang teramat sangat hingga tidak ada satu pun yang baik lagi. Walaupun pada hakikatnya nampak baik, tetapi tetap dilihat sebaliknya.

Rasa benci mempengaruhi apa jua keputusan yang dibuat. Rasa meluat mengawal emosi. Rasa benci mengatasi kebenaran. Rasa benci menutup pintu hati dari mengakui perkara baik yang dihasilkan orang.

Hal ini banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Dalam apa perkara pun tetap sama sahaja. Baik dalam hubungan peribadi ataupun dalam aktiviti setiap hari. Baik dalam bidang ekonomi, siasah dan riadah.

Jadi kita haruslah berhati-hati dalam membenci seseorang. Kita harus akui kebaikan dan kebenaran walaupun pahit. Bukan membenci secara membabi buta. Buangkan maksud lirik lagu di atas tadi.

Yang baik tetap baik walaupun ia datang dari musuh kita. Yang buruk tetap buruk walaupun datang dari kawan kita.

Kentut tetap busuk walau dari siapa sekalipun.