Monday, March 9, 2009

BILA BADUT MULA BERCERITA.....

Bagaimana mahu memulakan cerita ini? Bagaimana hendak memulakan dan bercerita supaya semua orang faham betapa hatiku tetap juga sama seperti hati orang lain. Biar orang tahu bahawa perasaanku sama seperti orang lain walaupun aku hanya seorang badut tua yang setia ketawa dan masih setia membuat orang ketawa.

Orang bertanya kenapa badut selalu berpakaian seperti itu? Kenapa badut mewarnakan wajah dan membuatkan hidungnya besar dengan meletakkan bola getah berwarna-warni di atasnya? Kenapa badut selalu nampak pelik dibandingkan dengan orang lain? Ada orang, terutama kanak-kanak terus ketawa apabila melihat seorang badut tanpa payah berbuat apa-apa.

Siapa pernah bertanya tentang hatinya? Siapa pernah bertanya tentang perasaannya? Tidak ada siapa peduli tentang apa yang dia mahu. Tentang apa yang dia perlu. Siapa pun tidak pernah ambil tahu. Yang pasti, seorang badut mesti menghiburkan orang. Mesti buatkan supaya orang merasa gembira dan senang hati. Buatkan orang ketawa.

Sesungguhnya badut itu juga manusia. Sama seperti manusia lain , mempunyai hati dan perasaan seorang manusia. Ada masa gembiranya, ada masa dukanya, ada masa serba salahnya dan ada masa bermimpi seperti orang lain bermimpi. Ia juga ada impiannya sendiri. Tetapi siapa yang pernah ambil tahu selain dia sendiri yang memendam hati.

Tetapi siapa akan tahu kalau tidak diberitahu?
Betul juga, ya?

No comments: