Thursday, May 20, 2010

MACAM MANA PULA LESEN NI BOLEH LULUS?

1. Langkah kerajaan khasnya Kementerian Kewangan meluluskan lesen untuk aktiviti pertaruhan Pesta Bolasepak Piala Dunia 2010 amat mengjutkan dan dilihat sebagai langkah kurang bijak dan berundur ke belakang dari usaha penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara. Macam mana boleh terjadi begini?

2. Dalam keghairahan menjadi sebuah kerajaan yang bersifat terbuka, kementerian yang diterajui Perdana Menteri sendiri terlupa bahawa langkah itu meletakkan kerajaan dalam zon bahaya seterusnya mencalarkan kerancakan transfomasi yang diperkenalkan.

3. Jika alasan yang diberikan timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin bahawa pemberian lesen itu adalah untuk mengawal dan membanteras pertaruhan haram yang dijangka akan beroperasi, ia adalah alasan yang tidak matang dan tidak berwibawa kerana pertaruhan haram tetap akan wujud biar seberapa banyak lesen dikeluarkan malah ia akan lebih berleluasa kerana ada pertaruhan ‘halal’.

4. Judi Empat Nombor dan Sports Toto boleh dijadikan contoh. Sesudah berapa banyak lesen Empat Nombor dan toto dikeluarkan, kedai yang menjual nombor ekor haram tetap juga beroperasi dan mendapat langganan. Nampak sangatlah kerajaan berputus asa dalam membendung aktiviti pertaruhan lalu mengambil langkah mudah dengan pemberian lesen atau ‘menghalalkan’ judi ini.

5. Daripada mengeluarkan lesen yang menimbulkan keresahan rakyat beragama Islam dan sesuai dengan usaha penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara, adalah lebih baik jika kerajaan berusaha menambah kaki-tangan dan penguatkuasa bagi menangani pertaruhan haram yang telah dijangkakan. Malah kerajaan akan dihamburkan dengan pujian demi pujian jika penguatkuasaan dipertingkatkan, lagipun akan menyedari kerajaan sedar kewujudan judi ini nanti.
6. Agaknya sudah kering otak untuk berfikir cara lain, halalkan saja judi ini. Bijaknya orang politik bermain politik. Cerdiknya orang politik berpolitik. Seolah-olah menggali kubur sendiri sahaja.
7. Nanti PRU13 jangan pula menyesal.

Tuesday, May 18, 2010

BULAN MEI, BULAN KERAJAAN BERBELANJA


Bulan Mei adalah bulan ke 5 dalam kalender. barangkali kerana itulah, kerana angka 5 itu, Mei menjadi terlalu istimewa. Mei menjadi bulan utama sehingga bermaca-macam sambutan ditetapkan dalam bulan Mei.

Dalam bulan 5 diadakan sambutan Hari Jururawat.
Dalam bulan 5 diadakan sambutan Hari Belia.
Dalam bulan 5 diadakan sambutan Hari Guru.
Dalam bulan 5 diadakan sambutan Hari Keamatan.

Kerajaan berbelanja besar dalam bulan Mei. Kebetulan pula berlangsung Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu, kempen besar-besaran berlangsung dalam bulan Mei juga. Tarikh PRK sendiri jatuh ada 16 Mei, sama harinya dengan perayaan Hari Guru. Dan yang bertugas sebagai pegawai SPR itu juga kebanyakannya adalah guru.

Pada Sambutan Hari Belia, Perdana Menteri sendiri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta. Itu berlaku pada tanggal 15 Mei. Esoknya pada 16 Mei, dalam perasmian sambutan Hari Guru, timbalannya pula mengumumkan peruntukan yang cukup besar untuk pada pegawai pendidikan. Bermula dengan kenaikan pangkat, hinggalah kepada hadiah wang atas prestasi sekolah yang dibanggakan. Banyak juga belanjanya jika dihitung. Mencecah jutaan ringgit juga.

PRK Parlimen Sibu usah ceritalah. Banyak sungguh peruntukan yang diluluskan kepada pengundi Sibu termasuk pembangunan sekolah-sekolah Cina serta prasarana yang berbagai-bagai. Inipun mencecah puluhan juta ringgit juga.

Itulah bulan Mei yang sangat istimewa. Nasib baiklah Piala Thomas terlepas ke China. Kalaulah ia kekal di Malaysia, entah berapa banyak pula wang akan dicurahkan kepada para pemain dan pegawai badminton. Itu Rosmah dah berjanji. Rosmah cakap, samalah juga dengan Najib cakap. Mereka tidur sebantal.

Diharap guru menjadi lebih berinovasi setelah mendapat kabar gembira itu. Para belia juga hendakalah beranjak dari keadaan sekarang. Ubahlah sikap dan gunakanlah minda dengan sebaik-baiknya sesudah menerima suntikan dari kerajaan.

PRK Parlimen Sibu telah menampakkan hasilnya. Biar sebanyak mana kerajaan taburkan ang ringgit, partyi kerajaan tetap ditolak juga. BN tetap tidak diterima hanya dengan majoriti 398. Kalaupun calon bebas tidak bertanding dan semua penyokongnya serama 232 orang beralih kepada BN, tetap juga tidak menang.

Jadi wang ringgit bukanlah segala-galanya. Wang belum tentu boleh mengubah prinsip dan mempengaruhi pilihan. Wang memang mempunyai kuasa beli tetapi belum tnetu boleh 'membeli' segala-galanya.

Fikir-fikirkanlah!

Saturday, May 15, 2010

KEKALAHAN YANG PATUT DISYUKURI

1. Alhamdulillah, Malaysia tewas! Malaysia tak menang dan Piala Thomas yang berprestij itu tidak dapat tinggal di Malaysia. Kekalahan di tangan China malam tadi patut diterima dan disyukuri seluruh rakyat Malaysia. bukan tidak suka Malaysia menang tetapi melihat apa yang bakal berlaku jika pasukan negara mngalahkan China dan seterusnya memenangi perlawan akhir nanti, adalah lebih baik kita tewas awal-awal lagi.
2. Kita tak mau nanti PM dikatakan dengar cakap bini. Malu. Perdana Menteri yang berkarisma tiba-tiba dilunturkan dengan tuduhan demikian rupa. Datuk seri Najib yang lantang berbicara tentang transfomasi, tiba-tiba terpaksa tunduk kepada isterinya sendiri, Datin Seri Rosmah Mansor.
3. Baru-baru ini dalam pertemuan Rosmah dengan para pemain badminton negara, beliau berjanji akan memberi hadiah insentif jika berjaya merangkul piala berprestij itu. Malah beliau dengan penuh yakin menyatakan akan berbincang dengan PM (siapa lagi kalau bukan Najib). Dan maksud tersirat tentulah kita faham, Rosmah akan meminta Najib mempertimbangkan sedikit peruntukan untuk skuad Piala Thomas.
4. Dan Najib tentu akan berada dalam keadaan serba salah. Tak diberikan, isteri yang minta. Kalau diberikan seperti yang diminta, apa pula kata orang: Najib dengar kata bini!
5. Jadi lebih baiklah Malaysia kalah.

Wednesday, April 21, 2010

PERIHAL SAMPAH



Apabila berbicara tentang sampah, sudah pasti gambaran tentang suatu tempat yang kotor dan tidak terurus datang ke dalam minda setiap orang. Tentulah terbayang barang-barang tidak berguna dan bertaburan dan berselerak. Biasanya sampah tidak dipedulikan dan dibuang sesuka hati. Ada juga yang dikumpulkan dan dibawa ke tempat tertentu untuk dibuang. Tegasnya, sampah adalah barang yang tidak berguna lagi.

Kadang-kadang sesuatu barang yang kita anggap sebagai sampah, sebenarnya tidak menjadi sampah kepada orang lain. Ada orang membuang satu barang yang dkira sampah tetapi dipungut orang lain sebagai satu benda berharga. Maknanya tidak semua sampah tidak berguna. Ia tidak berguna kepada kita tetapi berguna kepada orang lain. Lihat saja pada pakaian-pakaian kita yang telah lama. Kita fakir ia tidak berguna dan membuangnya ke tempat sampah tetapi ia diambil orang lain yang masih boleh memakainya.

Jadi, ada ketikanya tempat longgokan sampah menjadi tempat tumpuan segolongan orang yang gemar mencari dan mengumpul barang-barang berharga dari timbunan sampah-sampah itu. Kemungkinan terjumpa sesuatu yang bernilai memang tidak dapat dinafikan. Ada orang pernah menjumpai wang, barang kemas dan tidak ketinggalan beberapa barang yang masih boleh digunakan dan boleh dijual untuk mendapatkan sedikit wang..


Walau apapun anggapan kita mengenai sampah, ia hendaklah diurus dengan betul dan sempurna. Pembuangannya mestilah sistematik dan mengikut peraturan. Sikap membuang sampah mewrata-rata dijalan dan di lorong-lorong amat tidak digalakkan. Malah membuang sampah melalui tingkap kenderaan yang bergerak di jalanraya merupakan amalan yang tidak baik.

Di negara kita, sikap suka membuang sampah di merata tempat menjadi seperti amalan biasa. Sungai sering menjadi sasaran sehnga ia tercemar begitu teruk sekali. Di Malaysia, sungai bukan menjadi tempat yang menarik padahal di mota Bangkok, sungai menjadi jalan pengangkutan yang utama selain boleh menikmati hidupan di dalamnya seperti ikan yang menjadi tarikan pelancong. Sungai-sungai di Malaysia menjadi lubuk sampah.

Buatlah sesuatu dengan ‘sampah’ anda. Buanglah sampah secara berhemah kerana ada benda yang menjadi sampah kepada kita, menjadi barang berharga kepada orang lain. Dan kita sendiri pula jangan menjadi ‘sampah masyarakat’.

Tuesday, April 13, 2010

MENGENAI 'BERFIKIR'

Perbuatan orang berfikir membawa tuah
Perkataan orang berfikir peribadi bermaruah
Rancangan orang berfikir hidupnya mewah
Bijaksana orang berfikir martabatnya bertambah.

Tanpa Berfikir Menyesal Tak Sudah!

Friday, March 12, 2010

KELIRU

Beberapa tahun yang lalu kami mengatakan mereka menjadi kafir sebab berbaik-baik dan berkerjasama dengan orang-orang Cina dan India yang memang kafir. Habis ke segenap ceruk rantau dan kesegenap pelosok kampung kami mencanangkan demikian. Kami penuh percaya bahawa mereka menjadi kafir kerana bersahabat dengan puak-puak kafir itu.

Dan sekarang kami sendiri pula bersahabat dengan golongan yang serupa dari kaum Cina dan India yang serupa macam mereka yang kami katakan kafir dahulu. Malah golongan yang kami berbaik-baik ini lebih teruk lagi menghina Islam dan bangsa Melayu. Adakah kami juga kafir macam yang kami pernah katakan dulu?

Anak cucu kami akan jadi keliru.

Saturday, February 20, 2010

AKU MASIH DI SINI


Aku tidak ke mana-mana
walaupun sudah lama tidak menulis
laman ini menjadi kosong sahaja
begitu lama menyepi dan tiada cerita
walau sedikitpun sejak beberapa hari.

Banyak peristiwa kebelakangan ini
rusuh hati dan kesepian
menengggelamkan semua fikiran
jadi buntu tanpa satu apa pun
jiwa jadi kosong dan tidak berfungsi.

Banyak duka dari ceria
banyak lara dari ria
banyak luka dari gembira.

Monday, January 11, 2010

DOA DAN HARAPAN



Hati gersang dan bimbang
sesudah aku pulang
dari dosa yang tidak terampun
dengan dosa-dosa yang terhimpun
moga masih ada
lorong suci untuk aku lalui
menjalani hidupku yang telah hilang
ketika jalan ini sudah hampir ke penghujung
kepadamu aku serahkan
segala permohonan dan kemahuan.


- Januari 2010

Thursday, December 31, 2009

ESOK DIA PASTI DATANG

Esok dia pasti datang
jadi baik kita sediakan ruang
dan sediakan juga gelanggang
kita tidak tahu
dia datang bawa lagu atau
hanya berkaki ayam tanpa sepatu.

adakah dia seperti yang kita mahu
bersama dengan tari dan lagu
atau membawa misi baru
mengubah niat mengubah hajat
mencorak sejarah sambil melakar cerita.

Nasib baik tiada penjarah
yang datang bersama mengubah sejarah
bangsa ini sekian lama tiada gundah
bersama-sama melangkah
menuju satu pintu al-rahmat
bernama muafakat.

Jika yang datang nanti
bersamanya demonstrasi dan korupsi
birokrasi dan kroni
dan sejarah terbina persis gerhana awal pagi
seperti yang dijanji
tiada apa yang perlu disanjung
tiada yang perlu dijunjung.

Gelanggang dan ruang kita
akan hancur bersama komen dan nista
dan rumah kita tidak pernah damai
selagi ada lagu sumbang
kononnya demokrasi.

- 31 Disember 2009

Wednesday, December 30, 2009

KUKIRIMKAN DOA


Hendak kukirim bunga
takut ia layu di tengah jalan,
hendak kukirim senyum
takut ia tidak berbalas,
hendak kukirim rindu
takut ia tidak kesampaian.
Lalu ku kirimkan doa
semoga dirimu sihat sentiasa
dan Tuhan merestui segala!
- Disember 2009

Saturday, December 26, 2009

YANG PERTAMA DAN TERAKHIR




Ada pesanan tentang yang pertama
dan tentang yang terakhir.

Yang pertama
belum tentu yang terbaik
dan yang terbaik
biasanya yang terakhir.

Tetapi yang sukar ditentukan
adalah yang pertama
sedang yang terakhir masih lagi
menjadi tandatanya!

Berhati-hati memilih yang pertama
dan pastikan yang terakhir
sebaik-baik pilihan.
-Disember 2009