Wednesday, February 25, 2009

TENTANG HATI

Hati adalah unsur terpenting dalam diri manusia. Apa saja tindakan dan gerak badan adalah datang dari dorongan hati. Oleh kerana itulah kita disuruh berniat dalam hati sebab hati sahaja tumpuan fikiran apabila berniat. Kata orang, ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’. Hati ternyata elemen penting dalam sebarang tindakan manusia.

Semuanya bermula dari hati. Hati menggerakkan jiwa untuk jasad berfungsi. Hati membawa mannusia melangkah di landasan fikiran yang benar atau salah.

Hati adalah organ dalam jasad manusia, berwarna perang kemerah-merahan, terletak di dalam badan di bahagian sebelah kanan. Itulah hati. Dan bila berbicara tentang hati, terlintas perihal hati yang sering menjadi ikutan emosi manusia, antaranya:

Sakit hati, isi hati, ada hati, ambil hati, kecil hati, besar hati, luahan hati, rasa hati, satu hati, jantung hati, bulat hati, buah hati, jatuh hati, ikut hati, hati-hati dan banyak lagi.

Terlalu banyak perkara yang berkait dengan hati dan semuanya mempunyai maksud tersurat dan tersirat. Ia dikiaskan bagi menyatakan suatu perkara yang lain. Seharusnya kita memahami apa yang tersurat dan apa yang tersirat. Dari hati tampillah rasa yang mendorong tindakan emosi. Gembira, sedih, duka, tenang, resah, gelisah semuanya datang dari hati.

Dan apa saja yang ada di hati harus diluahkan sahaja untuk mengubat hati itu sendiri. Semakin perasaan itu disimpan, ia mndorong ke arah penyakit yang lebih serius. Jangan biarkan ia terpendam kerana ia boleh menjadi barah jiwa yang sukar dicari penawarnya.

Sesungguhnya bercerita kepada seseorang adalah ubat yang mujarab untuk penyakit hati. Manakala ubat terbaik untuk penyakit hati adalah membaca Al-Quran. Bergurau dan ketawa pula dapat merawat jiwa yang lara.

Renungkanlah.

No comments: