Thursday, June 18, 2009

KEJUJURAN ASAS KEHARMONIAN


Suami yang tak jujur dalam hubungan akan meruntuh rasa kepercayaan isteri padanya. Perkahwinan adalah perkongsian manakala kejujuran adalah kunci bahagia dalam rumahtangga, namun harus diingat bahawa begitu jugalah sebaliknya di pihak isteri."

Monday, June 15, 2009

HARI-HARI YANG SURAM

Entahlah kenapa
hari-hari datang dengan suram
membawa gendang yang semakin perlahan
rentak tidak menjadi seperti biasa
langkah menjadi semakin sumbang.
Sampai bila
akan jadi begini?
Nanti aku akan datang di hujung malam
meminta dariMu
Tuhanku.

Sunday, May 24, 2009

HIDUP MESTI DITERUSKAN

Buat apa diikutkan hati dan perasaan?
Selagi bernafas hidup ini harus diteruskan walaupun berbagai cemuhan dan cercaan.
Pedulikan semua kata orang walau macam mana berat pun.

Hidup mesti diteruskan.
Biar apapun yang akan terjadi selepas ini.
Jangan sekali-kali mengalah dan berputus asa.

Hendak mendapat teman ketawa memang mudah,
teman menangis bersama amat payah.

Friday, May 22, 2009

KADANG-KADANG

Kadang-kadang,
kita harus berhenti mengenang masa lalu,
berhenti merancang masa depan kita,
berhenti melayan perasaan kita'
berhenti berfikir tentang apa yang kita rasai.


Kadang-kadang,
kita harus memutuskan
bahawa yang berlaku biarlah ia berlaku
kerana ia adalah ketentuan Tuhan.

Tuesday, May 12, 2009

TENTANG KEHIDUPAN



Sesungguhnya,
hendak membina kehidupan ini adalah sesuatu yang amat payah. Berbagai rintangan dan cabaran perlu dilalui dan ditempuhi untuk mencapai tahap kehidupan yang boleh dibanggakan.


Tetapi,
hendak memusnahkan kehidupan itu adalah amat mudah. Sedikit kesilapan sudah cukup perit untuk kehilangan segala-galanya.


Berhati-hatilah dalam hidup ini!

Friday, May 8, 2009

KALAU KAU FAHAMI BAHASA RINDU

Kalau kau fahami bahasa rindu
pasti pengertian ini milikmu
kerana aku insan perindu
yang menagih damai di lubuk hatiku
kala gelora membadai kalbu.

Telah ku lakar segala rahsia
di kanvas jiwa terlukis rasa
pabila hati mula menjerit
tingkah berubah menyanggah fitrah
pepijat pesimis merasuk nurani
menyedut segala semangat duniawi
senyuman hambar yang ku lontar
petanda damai semakin pudar.

Aku masih menanti damai
mengharap rindu akan menghilang
walau ku tahu hakikat kehidupan
rindu itu satu kurniaan
buat manusia yang hilang ketenangan
apabila terputus nikmat dari Tuhan.

Tuesday, May 5, 2009

YANG PATUT DIJAUHI

Jauhkan diri dari bentuk-bentuk kemusnahan.
Jangan menghina atau meremehkan orang lain untuk mengelak permusuhan dan rasa benci.

Jika anda dapat memaafkan orang yang menzalimi anda,
itu adalah lebih baik dari memikirkan kemusnahannya.

AKU MASIH HIDUP


Tersedar pagi ini
Aku masih hidup lagi
Tuhan belum ambil nyawaku
Walau berkali-kali aku merayu meminta
Matikan aku.

Bangun pagi ini
Aku masih bernafas lagi
Menyambung cerita luka dan duka
Mahu aku tanggung derita ini
Atas perlakuanku yang dungu dan gila
Menghadap petaka yang celaka.

Terjaga pagi ini
Nadiku masih berdenyut lagi
Sederas degup jantungku
Sekencang debar dadaku
Setiap kali mengenang dan meneka
Apa akan terjadi selepas ini.

Ketika aku berharap tidak akan bangun lagi
Esoknya tiada nadi lagi
Tuhan masih mahu
Aku tanggung derita ini
Berikan peluang sekali lagi
Membaiki kehidupan yang telah musnah
Kembali kepada fitrah.

Monday, April 27, 2009

JALAN LURUS ATAU BERLIKU?




Jalan hidup ini masih panjang
dan kita tidak tahu di mana penghujungnya
samada lurus, berliku dan berlopak-lopak
atau memang jalan ini licin dan sempurna?
Tetapi
manusia terus membuat keputusan
setiap kesalahan orang lain
sebelum ia dibuktikan bersalah.
Dan manusia
tidak pernah dan tidak akan dengan mudah
menjadi pemaaf.

Saturday, April 18, 2009

TOLONGLAH AKU



Dia meminta aku pergi jauh darinya
dia meminta aku jangan mendekatinya
dia meminta aku tidak mengganggunya
dia meminta aku tidak mengusiknya
dia meminta, meminta, meminta....................

Tetapi,
semakin aku mahu pergi jauh,
aku terasa lebih dekat dengannya,
semakin aku cuba tidak mendekatinya,
aku terasa lebih rapat dengannya,
semakin aku cuba tidak mengganggunya
kenangan bersamanya datang mengganggu diriku,
semakin aku cuba tidak mengusiknya,
bayangan wajahnya datang mengusik hatiku.

Semakin aku cuba lari darinya,
terasa ia semakin hampir denganku.

Tolonglah aku!



Tuesday, April 14, 2009

TUHAN, TUNJUKKANLAH

Tunjukkan kepadaku, Tuhan
Jalan yang harus aku lalui
Meniti hari dalam mimpi dan fantasi
Menoktahkan hidupku nanti
Sebagai insan yang mengerti
Kehidupan yang hakiki.

Tunjukkan kepadaku, Tuhanku
Satu manifestasi kebahagiaan dan kejujuran
Yang saling mengasihi
Bersama menghadapi badai dan duri
Sesama kami bernama satu famili.

Tunjukkan kepadaku,Tuhanku
Jalan yang harus aku lalui
Sekian lama menanti sinar
Menyuluh pandanganku ke hadapan
melihat kebenaran.

Tunjukkan kepadaku, Tuhanku
Bagaimana mengatasi penghinaan ini
Sesudah tidak punya apa-apa
Dan hilang segala-galanya
Diri amat kerdil dan hina.

Tunjukkanlah kepadaku
Sebelum keputusanku melulu
Wahai Tuhanku!