Friday, March 12, 2010

KELIRU

Beberapa tahun yang lalu kami mengatakan mereka menjadi kafir sebab berbaik-baik dan berkerjasama dengan orang-orang Cina dan India yang memang kafir. Habis ke segenap ceruk rantau dan kesegenap pelosok kampung kami mencanangkan demikian. Kami penuh percaya bahawa mereka menjadi kafir kerana bersahabat dengan puak-puak kafir itu.

Dan sekarang kami sendiri pula bersahabat dengan golongan yang serupa dari kaum Cina dan India yang serupa macam mereka yang kami katakan kafir dahulu. Malah golongan yang kami berbaik-baik ini lebih teruk lagi menghina Islam dan bangsa Melayu. Adakah kami juga kafir macam yang kami pernah katakan dulu?

Anak cucu kami akan jadi keliru.

Saturday, February 20, 2010

AKU MASIH DI SINI


Aku tidak ke mana-mana
walaupun sudah lama tidak menulis
laman ini menjadi kosong sahaja
begitu lama menyepi dan tiada cerita
walau sedikitpun sejak beberapa hari.

Banyak peristiwa kebelakangan ini
rusuh hati dan kesepian
menengggelamkan semua fikiran
jadi buntu tanpa satu apa pun
jiwa jadi kosong dan tidak berfungsi.

Banyak duka dari ceria
banyak lara dari ria
banyak luka dari gembira.

Monday, January 11, 2010

DOA DAN HARAPAN



Hati gersang dan bimbang
sesudah aku pulang
dari dosa yang tidak terampun
dengan dosa-dosa yang terhimpun
moga masih ada
lorong suci untuk aku lalui
menjalani hidupku yang telah hilang
ketika jalan ini sudah hampir ke penghujung
kepadamu aku serahkan
segala permohonan dan kemahuan.


- Januari 2010

Thursday, December 31, 2009

ESOK DIA PASTI DATANG

Esok dia pasti datang
jadi baik kita sediakan ruang
dan sediakan juga gelanggang
kita tidak tahu
dia datang bawa lagu atau
hanya berkaki ayam tanpa sepatu.

adakah dia seperti yang kita mahu
bersama dengan tari dan lagu
atau membawa misi baru
mengubah niat mengubah hajat
mencorak sejarah sambil melakar cerita.

Nasib baik tiada penjarah
yang datang bersama mengubah sejarah
bangsa ini sekian lama tiada gundah
bersama-sama melangkah
menuju satu pintu al-rahmat
bernama muafakat.

Jika yang datang nanti
bersamanya demonstrasi dan korupsi
birokrasi dan kroni
dan sejarah terbina persis gerhana awal pagi
seperti yang dijanji
tiada apa yang perlu disanjung
tiada yang perlu dijunjung.

Gelanggang dan ruang kita
akan hancur bersama komen dan nista
dan rumah kita tidak pernah damai
selagi ada lagu sumbang
kononnya demokrasi.

- 31 Disember 2009

Wednesday, December 30, 2009

KUKIRIMKAN DOA


Hendak kukirim bunga
takut ia layu di tengah jalan,
hendak kukirim senyum
takut ia tidak berbalas,
hendak kukirim rindu
takut ia tidak kesampaian.
Lalu ku kirimkan doa
semoga dirimu sihat sentiasa
dan Tuhan merestui segala!
- Disember 2009

Saturday, December 26, 2009

YANG PERTAMA DAN TERAKHIR




Ada pesanan tentang yang pertama
dan tentang yang terakhir.

Yang pertama
belum tentu yang terbaik
dan yang terbaik
biasanya yang terakhir.

Tetapi yang sukar ditentukan
adalah yang pertama
sedang yang terakhir masih lagi
menjadi tandatanya!

Berhati-hati memilih yang pertama
dan pastikan yang terakhir
sebaik-baik pilihan.
-Disember 2009

Monday, November 16, 2009

KEHIDUPAN


Kehidupan adalah

mengenai kepercayaan kepada perasaan

mengenai kebijaksanaan mencuri peluang

mencipta kegembiraan

dan menghargai kenangan

mempelajari sejarah dan masa lalu.

Saturday, November 14, 2009

BERKATA YANG BENAR

1. Dapatkah berkata benar? Bolehkah tidak berbohong lagi? Terasa amat berat untuk berbicara tentang kebenaran hidup ini. Entah selama mana lagi hendak berselindung dan lari dari membuat pngakuan yang tulus ikhlas.
2. Semua manusia paling takut kepada kebenaran. Semua orang lebih cenderung untuk menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan orang lain. Manusia lebih senang dan lebih suka kepada pendustaan kerana menjaga perasaan sendiri. Atau menjaga diri dari penghinaan manusia lainnya?
3. Dan manusia akan lebih cenderung mengingati dan mengetahui tentang keaiban orang lain. Kalau ada sedikit kecacatan dan kekeliruan tentang kehidupan orang lain, itulah yang paling ingin diketahui melebihi perkara lain.
4. Jadi kita saemakin takut berbicara yang benar kerana takut kepada penghinaan dan keaiban yang akan menyelubungi diri.

Monday, October 26, 2009

MENCARI BAHAGIA



(Inikah kebahagian yang dicari?)

1. Orang sering mendoakan kebahagiaan. Orang sering mengharapkan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ada juga orang berkata, bahagialah hingga ke anak cucu.

2. Tetapi apa itu bahagia? Bagaimana kehidupan yang dikira bahagia? Bagi orang yang tidak mempunyai anak, tentulah mengharapkan kebahagiaan itu datangnya dengan adanya seorang anak. Bagi orang yang tidak mempunyai harta, tentulah mengharapkan mendapat sedikit harta untuk kebahagiaannya. Bagi orang yang tidak sihat, dia mengharapkan kesdihatan yang akan memberi kebahagiaan kepadanya.

3. Bahagia adalah satu suasana senang dan aman, aman damai serta gembira. Itulah bahagia sebenarnya. Berbahagialah kita seandainya hidup kita senang dan aman. Tiada apa yang perlu diikirkan dan tiada sebarang masalah menghantui hidup kita. Itulah bahagia. Seseorang itu dikira sangat bahagia andainya dia mendapat kesenangan dan beroleh keberuntungan dalam hidupnya.

4. Jadi, bahagia bergantung kepada keperluan sesorang. Kebahagiaan tidak sama pada semua orang. Carilah kebahagiaan kita sendiri tanpa meniru orang lain mencari bahagia.

Wednesday, October 21, 2009

DEMI MASA

Hanya beberapa saat
untuk mendapat seorang sahabat.

Hanya beberapa hari
untuk kita saling kenal-mengenali
untuk kita saling kasih-mengasihi.

Tetapi
kita perlukan seluruh hidup ini
sepanjang hayat yang kita ada
untuk berusaha melupai semuanya.

Tuesday, October 6, 2009

MENCARI BAHAGIA



Ingin sekali
mendengar kata-kata lunak
tentang bahagianya hidup ini
sesudah mendapat cahaya
dari kegelapan sekian lama.

Apakah bahagia?
ketika susah beroleh kesenangan
ketika papa mendapat harta
ketika sakit beroleh sihat
ketika sesak beroleh kelapangan.

Adakah bahagia ia
si miskin beroleh harta
si kaya tidak tidur lena
beroleh jodoh yang segak dan cantik
adakah ini kebahagiaan yang dicari?

Dalam diri ada seketul hati
baik ia, bahagialah jiwa
baik hati, bahagialah diri
itulah kebahagian yang dicari.
-Oktober 09