Monday, September 28, 2009

AKU AKAN DATANG LAGI


Sewaktu menapak sepantas angin
musim sejuk kota suci
Masjid Al-haram menggamit
dahiku terpaku di lantaimu
seiring doa sejahtera jiwaku.
Bila lagi kita akan bertemu
kembalikan ingatanku
ketika berjalan mencari saf
sujud di rumahMu
bersama jutaan manusia
seluruh dunia, serupa
menyerah diri.
Sekali aku di tanahMu
akan tiba lagi waktunya
aku datang lagi
sujud di hadapanMu.
Aku akan datang lagi!

Thursday, September 17, 2009

DUA KALI LIMA

Sama sahaja
engkau memaki aku
dengan sumpah seranah
aku memaki engkau
dengan sumpah seranah
berjela panjangnya
dan sesuka hati kita.

Kita sama sahaja
melepas geram hati
pada sesiapa
yang tidak bersama
mentafsir mimpi seperti kita.

Kita, samada

dua kali lima, ataupun
lima kali dua
sama sahaja jawabnya

sepuluh!.

Sunday, September 13, 2009

TENTANG AIR MATA 2

Tiada lagi air mata.

Air mata
tanda sedih
tanda luka dan tanda duka
tidak lagi datang
tidak lagi tiba
bila sudah sering
dihimpit derita.

Thursday, September 10, 2009

AIR MATA LELAKI DAN AIR MATA PEREMPUAN


Air mata
bagi seorang perempuan
mengalir dalam rasa kehilangan
pertimbangan dan harapan.

Air mata
bagi seorang lelaki
akan menitis dalam sepi
pada rasa pahit
yang sudah tidak bisa tersembunyi.

Wednesday, September 9, 2009

TENTANG AIR MATA 1


(Menangiskah kita mengenangkan saat-saat begini?)
Air mata
pada hati tanda duka
pada situasi tanda suka
dan kata orang airmata adalah
kekadang pencuci mata.

Saturday, August 29, 2009

MASIHKAH ADA?



Masihkah ada lagi
rasa kasih
di taman hati kamu
buatku?

Masihkah ada lagi
rasa rindu
di dada kalbu kamu
buatku?

Masihkah ada lagi
jejak untukku
menapak terus hidup
di sisimu?

Bila berjauhan
terasa rindu makin mendalam
benarkah
segalanya telah berakhir
buat kita?

Wednesday, August 26, 2009

YANG BENAR DAN YANG DUSTA


(Inilah antara yang benar dan yang palsu. Dua-dua adalah palsu belaka. Dusta semuanya.)

Bolehkah aku berkata benar?
Percayakah orang bila aku berkata yang benar?

Orang lebih percaya kepada yang dusta
orang lebih suka kita berdusta
orang lebih cenderung mendengar yang palsu
orang lebih tertumpu kepada cerita palsu.

Berkata benar hanyalah pada hati kita
orang lain tidak akan percaya
pada yang benar,
orang lebih percaya pada yang dusta
dan yang palsu.

Kalau tidak pasti,
cubalah berkata yang benar
ramai yang fikir anda berdusta
dan cuba berkata dusta
ramai yang memuji bahawa anda benar.

Apakah yang benar di antara yang benar?
Yang benar hanyalah kematian
dan hari kiamat.

Saturday, August 22, 2009

SUARA HATI


Kalau mendengar suara hati ini
Kematian adalah pasti
Segera ambil nyawaku
Hentikan degup jantung
Derita tidak tertanggung.

Kalau mendengar suara hati ini
Aku pergi jauh dari sini
Membawa kedukaan
yang amat pedih ini
membawa nestapa yang tidak terperi.

Kalau dengar suara hati
Mahu aku mati hari ini
Lupakan segala sengsara ini.

Friday, August 7, 2009

KATA ORANG



Kata orang
jangan bermain dengan api
ketika kecil menjadi kawan
apabila besar
beralih menjadi lawan,
memang benar kata orang.

Kata orang
jangan bermain dengan ombak
ketika kecil bermain rancak
apabila besar
berubah menjadi gelombang
memang benar kata orang.

Tapi kata orang juga
jika takut bermain ombak
jangan berumah di tepi pantai,
jika takut bermain api
jangan cuba menyimpan
rasa cinta.
Benarkah?

Sunday, August 2, 2009

GURINDAM DI SEBALIK KESILAPAN

Jika tersilap akui segera
terima seadanya kembali mesra.
Manusia biasa tak mungkin sempurna
muhasabah selalu minda mencerna.

Hati terbuka menerima kesilapan
adat kehidupan terselit kemalapan.
Kesilapan biar berbalas kemaafan
cerdik akal mengadili kekhilafan.

Salah silap itu ujian
naikkan semangat lemparkan kejian.
Kesilapan kecil jangan diulang
banyak masalah dapat dihalang.

Jangan tangguh baiki diri
moga terus terpelihara nubari.

SAAT-SAAT YANG PERLU DIRENUNGI


Sebagai seorang manusia
logis, berilmu dan berakal
Gembira jika diingati
Bahagia jika dihargai
Untung jika disayangi
Bertuah jika dicintai
Indah jika dihayati
Kecewa jika dilukai
Sedih jika dilupai.

Yang manakah untukku
sebelum nafas terhenti?