Tuesday, March 31, 2009

ENGKAU AMBILLAH



Engkau ambillah mataku
tapi biarlah aku melihatmu
terlebih dahulu.

Engkau ambillah tanganku
tetapi biarlah aku menyentuhmu
terlebih dahulu.

Engkau ambillah kakiku
tetapi biarlah aku mendekatimu
terlebih dahulu.

Tetapi
jika engkau hendak mengambil hatiku
ia memang telah menjadi milikmu.

DEMI MASA



Ia cuma mengambil masa seminit
untuk jatuh hati padamu,
ia mengambil masa satu jam
untuk menyukaimu,
ia mengambil masa satu hari
untuk menyintaimu.

Tetapi,
ia mengambil masa sepanjang hidupku
untuk melupakanmu.

Jadi,
jangan tinggalkan aku.

Sunday, March 29, 2009

AHLI KELUARGA BARU

Baru dua hari lepas kami menerima kehadiran 4 ahli baru dalam keluarga. Semuanya comel-comel belaka. Kehadiran mereka benar-benar memberi impak yang sangat bahagia dalam keluarga yang telah lama tidak mempunyai anak kecil. Kehadiran kembar empat yang baru dilahirkan ini membawa sinar baru dalam keluarga.


Kami menjaganya bagai menatang minyak yang penuh. Tempat tidur mereka dibuat dengan sebaik-baiknya agar tidak terkena musibah. Terlindung dari hujan dan panas.

Sekarang kami masih dalam proses mencari nama untuk diberikan kepada kembar berempat ini. Apa nama-nama yang hendak diberikan kepada mereka? Ibu mereka bernama Putih manakala bapa mereka pula bernama Belanga.

Tapi kasihan ibu mereka. Patutlah selama ini nampak sarat sangat perutnya. Maklumlah ada kembar di dalamnya. Empat pula.

Apa nama nak diberikan?

KUASA WANG


Kata orang, ada duit semua boleh jadi, ada wang semua boleh beli. Pentingnya wang. Mustahaknya ada wang di tangan. Kenapa? Entahlah.

Masa belajar ekonomi dulu bila ditanya apakah wang, cepat saja dapat jawapan kerana nak exam; ‘wang adalah apa yang wang boleh buat’. Betul tu. ‘Money is what money does’.

Apa yang wang boleh buat, itulah wang.

Peranan wang sangat besar dalam kehidupan manusia. Manusia kena ada wang untuk hidup. Manusia kena ada wang untuk hidup senang. Bila kita ada wang, kita dihormati. Bila kita ada wang kita disanjung tinggi. Orang akan merasa kasih kepada kita. Orangnakan sayang pada kita.

Bila tidak ada wang, orang akan jauhkan diri dari kita. Orang tidak menghormati orang yang tidak ada wang.

Orang yang paling rapat dengan kitapun akan jauhkan diri dari kita. Orang yang paling hampir dengan kitapun akan mula jauhkan diri. Yang sedihnya orang yang kita sayang pun akan mula mencari sebab untuk menyisihkan diri.

Yang menyedihkan lagi, orang yang selama ini mengasihi kita juga akan cuba mencari helah untuk tidak mengasihi kita lagi.

Begitu besarnya kuasa wang.

Wednesday, March 25, 2009

BILA HATI SUDAH SUKA

Terdapat sebuah lagu yang antara liriknya berbunyi lebih kurang begini:

“Bila hati sudah suka,
Semua indah saja”.

Sedap bukan bunyinya? Ya. Bila hati kita sudah menyukai sesuatu, semua perkara tentangnya nampak indah dan cantik. Tidak kelihatan cacat celanya. Kata orang bila sudah suka, kentut pun berbau wangi, tidak busuk seperti selalu.

Tetapi jika hati sudah tidak suka, tentulah terjadi sebaliknya. Akan timbul rasa benci yang teramat sangat hingga tidak ada satu pun yang baik lagi. Walaupun pada hakikatnya nampak baik, tetapi tetap dilihat sebaliknya.

Rasa benci mempengaruhi apa jua keputusan yang dibuat. Rasa meluat mengawal emosi. Rasa benci mengatasi kebenaran. Rasa benci menutup pintu hati dari mengakui perkara baik yang dihasilkan orang.

Hal ini banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Dalam apa perkara pun tetap sama sahaja. Baik dalam hubungan peribadi ataupun dalam aktiviti setiap hari. Baik dalam bidang ekonomi, siasah dan riadah.

Jadi kita haruslah berhati-hati dalam membenci seseorang. Kita harus akui kebaikan dan kebenaran walaupun pahit. Bukan membenci secara membabi buta. Buangkan maksud lirik lagu di atas tadi.

Yang baik tetap baik walaupun ia datang dari musuh kita. Yang buruk tetap buruk walaupun datang dari kawan kita.

Kentut tetap busuk walau dari siapa sekalipun.

Saturday, March 21, 2009

ANGKARA SIAPA DI BUKIT GANTANG


SIAPA PUNYA ANGKARA?
SIAPA PUNYA KERJA HINGGA JADI BEGINI?
KE MANA HILANGNYA BUDI BAHASA BANGSAKU?
BELUM PERNAH TERJADI ORANG MELAYU MENGHINA SULTANNYA.
PATUTKAH
SEORANG SULTAN DISIFATKAN SEBAGAI ANJING?
SEORANG MUFTI DIIBARATKAN SEBAGAI ANJING?
(SEMUANYA BERLAKU DI SUASANA KEMPEN PARLIMEN BUKIT GANTANG)
SAMA-SAMALAH KITA FIKIRKAN

Wednesday, March 18, 2009

MEMBANTU SESAMA MANUSIA

Membantu samalah dengan menolong. Bila kita membantu seseorang bermakna kita menolongnya. Setiap bantuan atau pertolongan yamg diberikan pasti dapat meringankan beban yang ditanggung pihak yang dibantu. Kalau tidak meringankan, bukan bantuanlah namanya. Bukan pertolonganlah namanya.

Bagaimanapun kita jangan berharap orang yang kita bantu itu akan membantu kita pula. Mungkin dia tidak akan dapat menolong kita seperti kita menolongnya. Boleh jadi dia tidak akan membantu kita langsung. Tetapi kita tidak harus kecewa kerana ada orang lain pula akan membantu kita. Sebaliknya orang yang kita bantu tadi akan memberi bantuan kepada orang lain.

Pernahkah kita tiba-tiba ada orang membantu kita semasa kita dalam kesusahan? Tentu ada. Pernah satu hari kita terlibat dalam kemalangan kenderaan, dan tiba-tiba ada ramai yang datang menolong. Ada yang menolong menguruskan kenderaan kita. Ada yang menguruskan ahli keluarga kita yang ada di situ dan macam-macam pertolongan lagi. Dari mana datangnya orang-orang ini?

Orang-orang ini adalah utusan dari Yang maha Kuasa hasil dari pertolongan-pertolongan orang lain kepada mereka. Dahulu mereka pernah dibantu oleh sesiapa dan sekarang tiba masa mereka membantu orang lain pula. Kebetulan kita yang terkena musibah, jadi mereka tolong kita. Yang pasti orang yang kita pernah tolong akan menolong orang lain pula.

Yang penting kita jangan marah kalau orang yang kita tolong tidak menolong kita. Biarkan. Ada orang lain menolong kita. Dia akan menolong orang lain pula. Begitulah putarannya.

Tuesday, March 17, 2009

KENANGAN MENJADI SEJARAH

Sesuatu peristiwa dan musibah yang menimpa diri adalah takdir belaka. Setiap kejadian yang menghantui kita adalah datangnya dari Tuhan Seru Sekelian Alam. Jangan risau dan jangan bimbang kerana setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

Musibah dan petaka yang menimpa diri kita akan menjadi satu kenangan. Kenangan samada pahit atau manis bergantung pada penerimaan kita sendiri. Kenangan yang melanda fikiran kita membuat kita kadang-kadang tidak menentu duduk kita. Kadang-kadang bercelaru fikiran kita. Kadang-kadang buntu otak kita. Namun setiap kenangan akan abadi dalam diri dan akan hidup kembnali dalam jiwa setiap kali sesuatu peristiwa berulang.

Tidak boleh dinafikan bahawa kenangan pahit akan meruntun jiwa ke arah rasa sedih yang tidak terhingga. Jiwa merana kerana tidak tertahan mengingati setiap kalimah atau tingkah yang dilakukan. Kenangan manis pula diiringi dengan senyuman dan kadang-kadang gelak ketawa yang tidak terkira.

Lama-kelamaan, kenangan akan menjadi sejarah apabila telah melalui beberapa era kejadian. Sesudah melalu beberapa jarak waktu,semua kenangan dikumpulkan dalam satu kotak sejarah yang hanya orang-orang terkemudian akan mengkaji dan menganalisa.

Apa kita perlu bimbangkan lagi tentang perkara yang menjadi lumrah ini. Ingatlah, semua kejadian akan menjadi kenangan. Dan kenangan pula lama kelamaan akan menjadi sejarah. Dan sejarah akan dibaca oleh orang-orang kemudian nanti.

Friday, March 13, 2009

MASA DEPAN YANG KELABU

Kadang-kadang bila tidak ada sesuatu hendak dibuat, tidak ada satu kerja hendak dilakukan, terfikir tentang masa depan. Bukan masa depanku. Masa depanku tidak penting lagi. Usia sudah lanjut, umur sudah tua, buat apa hendak dirisaukan tentang masa depanku.

Fikirkan masa depan anak-anak masa kini. Fikirkan apa akan terjadi kepada mereka dalam sedekad lagi. Ataupun dalam masa terdekat, 5 tahun lagi. Apa akan terjadi kepada mereka? Apa akan terjadi kepada golongan remaja khasnya remaja Melayu dalam sedikit masa lagi.

Stastik menunjukkan remaja bermasalah majoritinya Melayu. Remaja yang terlibat dengan dadah, majoritinya Melayu. Remaja yang terlibat dengan kes curi motosikal, majoritinya Melayu. Remaja yang melahirkan anak luar nikah, majoritinya Melayu. Remaja yang ponteng sekolah, majoritinya Melayu.

Asal keluar berita di dada akhbar atau di media elektronik tentang kes rogol, yang terlibat juga adalah Melayu. Yang suka melepak di pasaraya-pasaraya, Melayu belaka. Yang merempit siang dan malam, Melayu juga. Apa akan jadi dengan masa depan Melayu?

Hanya Tuhan yang tahu.

Dan Melayu punya masa depan yang kelabu!

Monday, March 9, 2009

BERKHAYAL DAN BERANGAN-ANGAN

Kadang-kadang duduk di hadapan komputer ni hampir satu jam, belum mula menulis apa-apa. Ada perkara yang hendak dituliskan tapi tak dapat hendak dimulakan. Ayat pertama tidak juga mahu menjelma dalam fikiran untuk dipaparkan.

Lama menunggu memikirkan. Ketika inilah banyak perkara berlari di kepala yang boleh diketengahkan, tetapi kerana terlampau banyak menyebabkan satu apa pun tak jadi. Tunggu kenalan hantar masej pun tidak datang-datang. Entah ke mana semuanya malam ini.

Puas termenung, mulut pun menguap, mata pun mengantuk. Akhirnya letak kepala di atas keyboard hingga terlelap.

Bila terjaga, macam-macam huruf terpapar di skrin. Masa terlelap tadi kepala menekan butang-butang huruf di keyboard.

BILA BADUT MULA BERCERITA.....

Bagaimana mahu memulakan cerita ini? Bagaimana hendak memulakan dan bercerita supaya semua orang faham betapa hatiku tetap juga sama seperti hati orang lain. Biar orang tahu bahawa perasaanku sama seperti orang lain walaupun aku hanya seorang badut tua yang setia ketawa dan masih setia membuat orang ketawa.

Orang bertanya kenapa badut selalu berpakaian seperti itu? Kenapa badut mewarnakan wajah dan membuatkan hidungnya besar dengan meletakkan bola getah berwarna-warni di atasnya? Kenapa badut selalu nampak pelik dibandingkan dengan orang lain? Ada orang, terutama kanak-kanak terus ketawa apabila melihat seorang badut tanpa payah berbuat apa-apa.

Siapa pernah bertanya tentang hatinya? Siapa pernah bertanya tentang perasaannya? Tidak ada siapa peduli tentang apa yang dia mahu. Tentang apa yang dia perlu. Siapa pun tidak pernah ambil tahu. Yang pasti, seorang badut mesti menghiburkan orang. Mesti buatkan supaya orang merasa gembira dan senang hati. Buatkan orang ketawa.

Sesungguhnya badut itu juga manusia. Sama seperti manusia lain , mempunyai hati dan perasaan seorang manusia. Ada masa gembiranya, ada masa dukanya, ada masa serba salahnya dan ada masa bermimpi seperti orang lain bermimpi. Ia juga ada impiannya sendiri. Tetapi siapa yang pernah ambil tahu selain dia sendiri yang memendam hati.

Tetapi siapa akan tahu kalau tidak diberitahu?
Betul juga, ya?

Thursday, March 5, 2009

APA HIDUP PALING LUNAK

Apa hidup paling lunak
selain bertemu dan berpisah
pesta dunia jua
selagi kita penghuninya
selagi kasih bermain di cermin tasiknya
selagi kita berlari di laman hatinya
apa dirindu apa dikenang.

Masih ingat rasa ini
pada pertemuan silam
setitik seteguk kuhirup penghilang dahaga
apa bisa kupinta
selain padaku kental ingatan?

Semusim berlalu pergi
dan kita akan singgah
mencari pelabuhan sendiri
mencari damai jiwa
dengan hati yang semakin bergetar
mengenang pertemuan
yang semakin pudar dan tercalar.

Semusim berlalu pergi
suara kita tidak kedengaran lagi
sibuk berlari dan mencari
kita tidak ingat
dulu kita ada sahabat.

Apa hidup paling lunak
dari mengenang dan mengingati
segala peristiwa.

5 Februari 2009

Tuesday, March 3, 2009

PETER BUTLER: TAHNIAH!

Nama Peter Butler tidaklah sehebat mana kalau tidak kerana melonjakkan pasukan Kelantan mengharungi kancah Liga M buat masa ini. Walaupun tewas dengan pasukan gergasi Selangor baru-baru ini, nama Peter Butler tetap menjadi sebutan. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya mengukir nama Kelantan sebagai sebuah pasukan yang digeruni.

Tetapi ucapan tahniah ini bukan kerana hal-hal yang di atas. Ucapan tahniah ini adalah kerana keupayaan beliau bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaupun tersangkut-sangkut, tetapi usaha beliau menggunakan Bahasa Melayu untuk menyampaikan komen tentang kekalahan Kelantan kepada Selangor mengejutkan ramai penonton TV malam tadi.

Jarang sekali kita mendengar atau melihat jurulatih bolesepak negara yang bukan Melayu mahu bertutur Bahasa Melayu. Mereka lebih senang dan lancar bertutur Bahasa Inggeris. Ataupun mereka merasakan bertutur Bahasa Melayu tidak sesuai dengan permainan bolasepak, satu permainan global.

Tetapi Peter Butler malam tadi telah membuka mata ramai orang. Kalau ada kemahuan dan kesungguhan, dalam masa yang singkat sahaja Bahasa Melayu dapat dikuasai. Baru berapa bulan Peter Butler berada di Malaysia berbanding dengan jurulatih tempatan yang lain?

Kenapa Peter Butler boleh tetapi mereka tidak boleh?

Rata-rata rakyat Malaysia sudah tinggal di Malaysia berpuluh tahun tetapi tidak dapat menguasai Bahasa Melayu. Bukan kerana bahasa itu susah. Kalau susah tentu Peter Butler tidak boleh bertutur menggunakannya dengan begitu baik hanya dalam masa beberapa bulan sahaja tinggal di Malaysia.

Semuanya terletak kepada kemahuan dan kesungguhan. Selain dari itu perasaan cintakan bahasa tersebut mesti tertanam dalam hati masing-masing. Kalau tidak ada kemahuan dan usaha, Bahasa Melayu tidak akan dapat dikuasai.

Malu kepada Peter Butler, seorang luar yang lebih senang menggunakan bahasa yang orang tempatan mudah faham. Tetapi orang tempatan malu menggunakan bahasa sendiri.