Wednesday, February 25, 2009

TENTANG HATI

Hati adalah unsur terpenting dalam diri manusia. Apa saja tindakan dan gerak badan adalah datang dari dorongan hati. Oleh kerana itulah kita disuruh berniat dalam hati sebab hati sahaja tumpuan fikiran apabila berniat. Kata orang, ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’. Hati ternyata elemen penting dalam sebarang tindakan manusia.

Semuanya bermula dari hati. Hati menggerakkan jiwa untuk jasad berfungsi. Hati membawa mannusia melangkah di landasan fikiran yang benar atau salah.

Hati adalah organ dalam jasad manusia, berwarna perang kemerah-merahan, terletak di dalam badan di bahagian sebelah kanan. Itulah hati. Dan bila berbicara tentang hati, terlintas perihal hati yang sering menjadi ikutan emosi manusia, antaranya:

Sakit hati, isi hati, ada hati, ambil hati, kecil hati, besar hati, luahan hati, rasa hati, satu hati, jantung hati, bulat hati, buah hati, jatuh hati, ikut hati, hati-hati dan banyak lagi.

Terlalu banyak perkara yang berkait dengan hati dan semuanya mempunyai maksud tersurat dan tersirat. Ia dikiaskan bagi menyatakan suatu perkara yang lain. Seharusnya kita memahami apa yang tersurat dan apa yang tersirat. Dari hati tampillah rasa yang mendorong tindakan emosi. Gembira, sedih, duka, tenang, resah, gelisah semuanya datang dari hati.

Dan apa saja yang ada di hati harus diluahkan sahaja untuk mengubat hati itu sendiri. Semakin perasaan itu disimpan, ia mndorong ke arah penyakit yang lebih serius. Jangan biarkan ia terpendam kerana ia boleh menjadi barah jiwa yang sukar dicari penawarnya.

Sesungguhnya bercerita kepada seseorang adalah ubat yang mujarab untuk penyakit hati. Manakala ubat terbaik untuk penyakit hati adalah membaca Al-Quran. Bergurau dan ketawa pula dapat merawat jiwa yang lara.

Renungkanlah.

Tuesday, February 10, 2009

ERTI POLITIK

Kata orang:
Sekotor-kotor manusia adalah orang politik.
Nak jadi ahli politik kena pandai berbohong.
Ahli politik yang bijak adalah yang pandai berjanji.
Memijak kawan untuk naik ke atas mainan biasa dalam politik.
Kalau muka nipis, jangan main politik.
Politik hanya mainan untuk sehari, esok lain pula bicara.
Hari ini berkata ya, aku sokong, esok boleh berkata kau bohong.
Kalau tidak pandai gimik, jangan jadi orang politik
Kalau tidak pandai cipta retorik, jangan main politik
Kalau tak pandai buat fitnah, bukan politik sejati
Kalau tak tahu buat tohmah, lebih baik duduk di rumah.
Hendak berpolitik kena pandai kritik.
Orang buat apa saja, kritik dulu kemudiaan fikir.
Heboh kalau kita di landasan betul
Buat tak tahu jika kita tersalah arah.
Politik terjah kena buat supaya orang marah
Buat cerita supaya orang benci sesama sendiri
Kita pasti dapat peluang cerah
Untuk naik lagi setakah.
Nasib orang lain apa peduli.

Kataku;
Politik itu umpama najis
Biar ia berjauhan dariku
dan aku jangan dekati politik
Jauhi politik selagi ia tidak memudaratkan.

Saturday, February 7, 2009

POLITIK TIDAK TAHU MALU!

Berapa ramaikah rakyat Perak yang marahkan Sultan mereka? Semua rakyat Perakkah? Ini soalan yang perlu dijawab. Kita sebagai orang luar hanya boleh melihat dan memberi pendapat. Dan pendapat diberi sepatutnya dengan rasional, bukan mengikut emosi semata-mata.

Yang kita orang luar Perak sibuk-sibuk ikut sama berdemonstrasi, apa halnya? Bukan ada kena mengena dengan kita. Jagalah negeri kita, kawasan kita. Lagipun apa saja yang dibuat orang lain, mesti akan tidak kena kepada Pakatan Rakyat, khasnya PKR. Ayat biasa yang keramat sangat adalah,”Itu semua konspirasi”.

Inilah yang dikatakan politik tak tahu malu.

Pakatan Rakyat tak tahu malu, masih lagi mengadakan mesyuarat EXCO walaupun kerajaan sudah tidak sah. Rancanglah apapun, siapa yang hendak laksanakan? Jabatan Kerajaan yang mana yang akan akur dengan perancangan PKR pun kita tidak tahu kerana semuanya di bawah arahan Setiausaha Kerajaan Negeri. Dan SUK pula mesti mendapat perintah dan restu Sultan.

Anwar dan Haji Hadi lagilah tak malu, membiarkan Karpal Singh menghina Raja Melayu sesuka hatinya. Langkah Karpal hEndak menyaman Sultan Perak dilihat sebagai satu perbuatan Kurang Ajar. Dan Haji Hadi, Haji Nasarudin Md Isa, Anwar Ibrahim dan Mohamad Nizar boleh biar begitu sahaja. Membisu seribu bahasa.

Najib juga dilihat sebagai tidak tahu malu juga. Kenapa terburu-buru mengambil alih kerajaan Perak tanpa menunggu sidang Dewan Undangan Negeri? Kalau dalam sidang dilihat lebih dihormati kerana Mohamad Nizar turun takhta hasil Undi Tidak Percaya. Ini tidak, merampas kerajaan secara kurang ajar. Patutlah menimbulkan kemarahan berbagai pihak.

Yang lagi malu adalah kita orang-orang Melayu. Kita sama kita bercakaran, yang untung siapa? Masa sidang akhbar itu nampak Lim Kit Siang sahaja yang ada. Wakil Hindraf entah di mana. Tak ada seorang pun tokoh dari kaum India yang berada di barisan depan. Lim Kit Siang pun bangun cepat-cepat beredar pergi. Tinggallah kita sesama Melayu bercakaran.

Siapa yang untung?

Kita mendapat malu, orang lain mendapat untung. Itulah yang dikatakan politik tak tahu malu!

Thursday, February 5, 2009

LAIN BENGKAK LAIN BERNANAH

Hakikatnya amat bercelaru. Sudah jadi haru-biru dan caca-merba. Itulah kata-kata yang paling sesuai dengan senario politik negeri Perak hari ini. Apa komen Anwar entahlah. Namun apa pun akan dikatakannya, semua sudah dapat mengagak. Tentulah meriam akan dihalakan kepada BN khasnya UMNO. Bagi Anwar ini semua salah UMNO. Semua taktik kotor BN.

Dendam kesumatnya kepada UMNO tidak akan padam dan sentiasa menuduh macam-macam supaya timbul kebencian rakyat. Biar rakyat benci kepada UMNO khasnya kepada Najib yang akan mengambil alih kerajaan pada penghujung Mac ini.

Cerita hendak mengambil alih kerajaan seolah-olah sudah basi. Tiba-tiba bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Kerajaan Pakatan di Perak tiba-tiba tumbang. Siapa sangka, tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba hilang taring dan tidak semena-mena Mohd Nizar kena turun takhta. Kereta Toyota Camry tak sampai dua bulan usianya, kena serah kepada BN.

Lain bengkak lain pula yang bernanah. Harap nak tukar kerajaan, nak jatuhkan BN, tiba-tiba BN jatuhkan Pakatan Rakyat. Dah terbalik pula. Inilah yang lawaknya politik Malaysia. Jenakanya tidak pernah seteruk ini.

Kata Mohd Nizar beliau masih Menteri Besar. Tapi macam mana begitu. Tak mungkin Menteri Besar kerajaan yang hilang majoriti. Jangan buat lawak baru pula. Jangan jadi badut.

Inilah rencah politik Malaysia. Lain bengkak lain pula yang bernanah.

Wednesday, February 4, 2009

DUNIA HAMPIR KIAMAT?

Hari ini banyak cerita lawak yang terpacul di muka dunia. Lebih lawak dari lawak Si Badut gila. Baru 2 hari melompat ke PKR dengan alasan mendokong kehendak penyokong dan pengundi, kononnya hanya PKR yang memperjuangkan nasib rakyat berbilang kaum, hari ini dah melompat masuk UMNO semula. Apa jenis lawak pun tak tahu.

Kali ini alasannya sama juga, kerana kehendak para pengundi. Bagi si katak ini, pengundi pun suka melompat macam dia juga? Baru 2 hari dah berubah sokongan pula? Dunia nak kiamat apa?

Si Apek ayang selalu buat lawak pun terpinga-pinga tak tahu hendak kelaskan jenis lawak macam mana yang ini. Si Nabil terkebil-kebil tak tahu nak komen apa-apa sebab dalam program Raja Lawak tidak macam ini.

Sebenarnya inilah lawak ahli politik. Politik tiga suku. Politik Duakali Lima dan Lima Kali Dua; jawabnya sepuluh. Alihlah macam manapun jawabnya tetap sepuluh. Apa tidaknya, asyik lawan mengata. UMNO kata kepada PKR, PKR kata kepada UMNO. Padahal bendanya sama juga. Sama-sama tak ikhlas, tak jujur.

Semasa dia lompat ke PKR, Umno kata ada tawaran untuk apa-apa jawatan dari Pakatan Rakyat. PKR seronok bagai nak rak. Alih-alih 2 hari saja dah UMNO pula yang bertepuk tangan. Nampak Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang sakan sekali bertepuk di belakang Najib. Maklumlah, bakal Menteri Besar Perak yang baru.

Bila dua ADUN dari Pakatan Rakyat dah bertukar angin menjadi wakil Bebas dan menyokong UMNO, PKR pula tuduh itu semua adalah mainan politik UMNO. Sama-sama lawan mengata. Tak duakali limakah itu? Orang lain buat tak boleh, kita buat tak apa. Orang lompat ke parti kita tak apa, orang kita lompat ke parti orang, kita kacau menyalahkan orang pula.

Agaknya dunia ini sudah hendak kiamat.